Seseorang yang hendak mendirikan sembahyang hendaklah terlebih dahulu
 memastikan dirinya, pakaiannya serta tempatnya bersembahyang suci 
daripada najis. Jika terdapat najis pada perkara-perkara yang disebutkan
 itu, maka hendaklah ianya dibersihkan terlebih dahulu sehingga tempat 
yang terkena najis itu menjadi suci. Salah satu daripada syarat sah 
sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang 
daripada najis yang tidak dimaafkan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan!” (Surah al-Muddatstsir: 4)
Syarat suci daripada najis ketika di dalam sembahyang adalah juga 
berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha,
 Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Jika datang darah haid maka 
tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka 
bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits 
riwayat al-Bukhari)
Daripada ayat dan hadits di atas, jelas bahawa tidak sah sembahyang 
seseorang yang terdapat najis pada tubuh badan, pakaian atau tempatnya 
bersembahyang. Namun jika sekiranya najis itu merupakan najis yang 
dimaafkan, maka sembahyangnya adalah sah walaupun dia tidak 
menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu 
terlebih dahulu.
Untuk memudahkan seseorang itu melaksanakan ibadatnya, adalah perlu 
dia mengetahui apakah perkara yang dikategorikan sebagai najis yang 
dimaafkan.
Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan itu?
Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk
 untuk mengenal pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara
 yang susah untuk dielakkan daripadanya.
Berikut adalah sebahagian contoh najis-najis yang dimaafkan:
1. Najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar, walaupun ia 
daripada najis mughallazhah. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau 
air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau 
tempat bersembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.
2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak
 mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat 
kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempatnya 
bersembahyang yang bukan disebabkan perbuatannya sendiri.
Jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, 
umpamanya membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau 
jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak 
dikira sebagai najis yang dimaafkan.
Darah atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat, iaitu:-
- Darah atau nanah tersebut merupakan darah/nanah dari orang itu sendiri
 - Darah atau nanah itu keluar bukan disebabkan perbuatannya atau disenghajakannya.
 - Darah atau nanah yang keluar itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak mengalir daripada lukanya.
 
3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain 
atau tempat bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis 
tersebut bukan dari najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. 
Jika ia berasal dari keduanya atau salah satu dari keduanya, tidaklah ia
 dimaafkan walaupun hanya sedikit.
Menurut Imam al-Adzra‘ie Rahimahullah bahawa adalah termasuk juga 
darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya 
terkena semula padanya sebagai darah ajnabi.
4. Darah yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar 
dari bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga danyang seumpamanya, 
selain dari jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi.
Jika darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan 
sembahyang dan terus menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika 
pendarahan itu diharapkan berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang 
masih panjang, maka hendaklah ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, 
hendaklah dia membersihkan dahulu darah tersebut dan hidungnya (tempat 
keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya dengan kapas umpamanya dan
 melapisnya dengan kain jika perlu.
5. Darah yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil dari 
perbuatan mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun 
banyak yang masih tinggal di tempat lukanya.
6. Darah yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air ludah 
sendiri. Sah sembahyang bagi orang yang gusinya berdarah sebelum 
dicucinya darah tersebut selagi dia tidak menelan air ludahnya ketika di
 dalam sembahyang.
7. Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang 
seumpamanya yang memang diyakini kenajisannya, dengan syarat najis 
tersebut tidak jelas di tempat itu dan dia telah pun berusaha untuk 
mengelak daripada terkena tempat laluan tersebut seperti tidak 
membiarkan hujung kain terkena tanah tempat laluan tersebut.
Perhatian: Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang 
dimaksudkan bagi najis itu ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu 
apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira 
sebagai sedikit dan begitulah sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut 
banyak atau sedikit, maka dihukumkan sedikit dan dimaafkan.
Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan. Kerana 
itu umat Islam diperintahkan untuk memelihara diri dari segala najis 
sehinggakan suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat 
dijadikan sebagai salah satu syarat sah sembahyang. Walau bagaimanapun 
Islam juga adalah agama yang tidak membebankan umatnya dengan kesukaran.
 Contohnya pengecualian terhadap najis yang dimaafkan yang tidak 
menjejaskan kesahihan sembahyang, kerana kesukaran menghilangkannya atau
 mengelak dari terkena najis tersebut.
Tag :
AGAMA
0 Komentar untuk "Najis Yang Dimaafkan Tidak Menjejaskan Shalat"